Thứ Tư, 21 tháng 12, 2011

Dr M Akui Malaysia Pinjam Dana Bank Dunia





Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana.
Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir, menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999.
“Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa dia tahu apa yang dia kata itu benar.
Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia,” katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.
Katanya lagi, Malaysia enggan menerima dana pinjaman International Monetary Fund (IMF) daripada Bank Dunia kerana “bantuan yang dikatakan itu akan memburukkan lagi keadaan.”
Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.
Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.
Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.
Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.
Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan.




Selepas nafi, Mahathir akhirnya mengaku pinjam Bank Dunia




KUALA LUMPUR 21 Dis: Selepas berbohong dan membuat penafian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengaku meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau.
Anehnya, Mahathir mendakwa beliau tidak pernah menulis secara rasmi kepada badan itu untuk mendapatkan dana ketika krisis kewangan 1999, bagi menjawab dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Mahathir menafikan beliau  pernah meminta bantuan kewangan daripada Bank Dunia, sama ada semasa krisis kewangan tahun 1997 atau selepas itu.
Mengulas pendedahan Pengarah Strategi KEADILAN,  Mohd Rafizi Ramli yang mengemukakan tiga dokumen yang didakwa sebagai bukti  beliau pernah membuat pinjaman itu, Dr Mahathir berkata beliau perlu membuat pengesahan dengan Bank Dunia untuk melihat sama ada dokumen itu asli atau tidak.
Namun, ketika menulis diblognya semalam, Mahathir mengaku pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.
Selepas Anwar dipecat, kerajaan membuat tiga pinjaman daripada Bank Dunia.
Menurut Mahathir, sebanyak USD100 juta ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.
Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD600,000 manakala satu lagi pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD217 juta dikeluarkan.
Tiga injaman itu diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan, dan kedudukannya diambil alih oleh Mahathir.
KEADILAN baru-baru ini mengemukakan tiga dokumen rasmi Bank Dunia berhubung salah satu dari empat pinjaman berjumlah US$704 juta oleh kerajaan Malaysia sejak 1997.
Ketiga-tiga dokumen pinjaman US$60 juta  itu membuktikan rundingan  berlaku selepas Anwar dipenjara dan dipecat dari kabinet.
Pentadbiran Umno sejak zaman Mahathir  menuduh Anwar dengan pelbagai tohmahan, termasuk akur kepada polisi ditetapkan Bank Dunia dan IMF semasa krisis kewangan melanda lebih sedekad lalu.

Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét

Bài đăng phổ biến